Kelebihan Bulan Zulhijjah 10 Hari Pertama

>> Wednesday, November 25, 2009



Bulan Zulhijjah merupakan bulan dimana umat islam disyariatkan untuk mengerjakan ibadah haji. Esok (18.11.09) merupakan permulaan kepada bulan Zulhijjah pada tahun ini. Kelebihan 10 hari pertama Zulhijjah tidak banyak dibicarakan sepertima mana 10 hari terkhir Ramadhan, sedangkan kelebihan dan kemulian 10 hari Zulhijjah dan Hari Arafah telah digambarkan dalam Al-Quran dan Hadith. Mari kita fahami akan kelebihan bulan Zulhijjah dan berusaha untuk beramal dalam 10 hari pertama ini, supaya kita mendapat balasan syurga daripada Allah

Firman Allah dalam surah Al-Buruj, ayat 1-3

al-fajr2

Demi fajar, dan malam yang sepuluh, dan yang genap dan yang ganjil

Ibnu kathir berpandangan bahawa malam yang sepuluh itu ialah sepuluh malam pertama di bulan zulhijjah, beliau mengmbil pandnagan daripada Ibn Abbas, Ibnu Zubair, Mujahid dan selainnya. Manakala yang ganjil itu ialah hari arafah.

Imam al Bukhari Rahimahullah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda:

hadith-11
"Tiada suatu hari pun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari ini - iaitu 10 hari Zulhijjah. Para sahabat baginda bertanya, ‘Tidak juga Jihad pada jalan Allah (mengatasi kelebihan Hari-hari tersebut)? Ujar Baginda, Tidak juga Jihad di jalan Allah kecuali seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun (kerana habis disumbangkan untuk memenangkan agama Allah).


Imam Ahmad r.a. dari Ibnu Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda,

“Tiada suatu haripun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari 10 Zulhijjah ini, oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah).

Ibnu Hibban di dalam kitab Sahihnya meriwayatkan dari Jabir r.a. bahawa baginda s.a.w bersabda,

hadith-22

Seutama-utama hari adalah hari Arafah”.

Manakala kelebihan hari Arafah (9 Zulhijjah) pula disebut oleh Rasulullah S.A.W ketika menafsirkan ayat ke-3 dari surah Al-Buruj

al-buruj1

Yang menyaksikan ialah hari arafah dan yang disaksikan ialah hari kiamat ” (Hadith riwayat Ahmad dan Baihaqi)

Didalam hadith lain pula, Sabda Baginda SAW lagi

hadith-31

Tidak ada hari yang lebih banyak dibebaskan oleh Allah akan hambaNya daripada neraka lebih dari hari Arafah” (Riwayat Muslim)

JENIS AMALAN YANG DIANJURKAN PADANYA

1. Menunaikan ibadah haji dan ‘umrah yang merupakan sebaik-baik amalan. Banyak hadith yang menyatakan kelebihan ibadah ini di antaranya :

Sabda Nabi Salla Allah ‘alaihi wa sallam : “Satu ‘umrah ke ‘umrah yang lain menghapuskan (dosa) yang dilakukan di antara keduanya dan haji yang baik (diterima) tiada baginya balasan melainkan Syurga”.

2. Berpuasa pada hari-hari tersebut atau sekadar kemampuannya - terutamanya pada hari ‘Arafah - . Tidak dinafikan bahawa puasa adalah di antara amalan yang terbaik dan ianya adalah pilihan Allah Ta’ala sendiri sebagaimana yang dinyatakan di dalam sebuah hadith qudsi :

“Puasa itu adalah bagiKu dan Akulah yang membalasinya, dia meninggalkan keinginan nafsunya, makanan dan minumannya semata-mata keranaKu”.

Dari Abu Sa’id al Khudri Radhia Allah ‘anhu berkata : ‘Rasulullah Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda :

“Tiada seorangpun yang berpuasa pada satu hari di jalan Allah melainkan Allah menjauhkan dengan puasanya itu mukanya dari api neraka sejauh tujuh puluh tahun” (muttafaq ‘alaih).

Imam Muslim Rahimahullah meriwayatkan dari Abi Qatadah Radhia Allah ‘anhu bahawa Rasulullah Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda :

“Puasa pada hari ‘Arafah, saya mengharap Allah akan menghapuskan (dosa) setahun yang lalu dan setahun yang mendatang”.


3. Takbir (Allahu Akbar) dan berzikir padanya, firman Allah Ta’ala yang bermaksud :
“(Dan supaya mereka menyebut nama Allah pada beberapa hari yang termaklum)”,

Hari-hari tersebut dijelaskan sebagai sepuluh hari di bulan Zulhijjah. Oleh kerana itulah para ‘Ulama menyarankan supaya diperbanyakkan berzikir pada hari-hari tersebut sebagaimana mafhum hadith Ibnu ‘Umar Radhia Allah ‘anhuma yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad Rahimahullah, di antaranya :

“Oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah) , takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah)”.

Imam Al Bukhari Rahimahullah meriwayatkan bahawa Ibnu ‘Umar dan Abu Hurairah Radhia Allah ‘anhum kedua mereka pada hari-hari tersebut selalu keluar ke pasar bertakbir dan diikuti oleh orang ramai. Imam Ishaq Rahimahullah meriwayatkan bahawa para Fuqaha’ (ahli feqah) di kalangan Tabi’in (generasi selepas Sahabat Nabi) sentiasa membaca pada hari-hari itu “[Allahu Akbar, Allahu Akbar, La Ilaha Illa Allah, wa Allahu Akbar, Allahu Akbar, wa LillahI Hamdu]“. Adalah amat digalakkan supaya suara ditinggikan ketika bertakbir di pasar, rumah, jalan, masjid dan selainnya berdasarkan firman Allah Ta’ala yang bermaksud :

“(Dan supaya kamu membesarkan (bertakbir) Allah di atas ni’matNya menghidayat kamu)”.

Dibolehkan juga pada hari-hari tersebut berzikir dengan apa-apa zikir yang lain dan segala do’a yang baik.

4. Bertaubat dan meninggalkan segala ma’siat dan dosa, semoga dengan amalan baik dapat mencapai keampunan dan rahmat Allah. Ini kerana ma’siat adalah punca kepada jauh dan terhindarnya seorang hamba dari rahmat Allah manakala ketaatan pula adalah punca dekat dan kasihnya Allah kepadanya. Di dalam sebuah hadith yang diriwatkan oleh Abu Harairah Radhia Allah ‘anhu, Baginda Nabi Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda :

“Sesungguhnya Allah mencemburui (tidak suka) apabila seseorang hambaNya melakukan perkara yang ditegahNya” (muttafaq ‘alaihi).

5. Memperbanyakkan amalan soleh (baik) terutama amalan-amalan sunat tambahan seperti solat sunat, bersedekah, berjihad, mebaca al Quran, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan seumpamanya kerana kesemuanya akan digandakan pada hari-hari tersebut. Amalan yang dikerjakan ketika itu walaupun ia kecil tetapi ianya lebih disukai oleh Allah Ta’ala jika dibandingkan pada hari-hari lain, begitu juga amalan yang besar seperti berjihad di jalan Allah yang dikatogerikan di antara amalan yang terbaik, tidaklah mendapat kehebatan pahala pada hari-hari itu melainkan apabila kuda (kenderaan) yang ditungganginya terbunuh (binasa) dan darahnya keluar (dia cedera atau mati syahid).


6. Disyari’atkan bertakbir pada beberapa hari yang mulia itu pada waktu siang atau malam terutama selepas menunaikan fardu solat lima waktu yang dikerjakan secara berjamaah. Bagi mereka yang tidak menunaikan ‘ibadah haji, takbir bermula dari waktu subuh hari ‘Arafah (9 Zulhijjah) dan bagi yang menunaikannya takbir bermula pada waktu Zohor hari raya haji (10 Zulhijjah), kesemuanya berakhir sehingga waktu ‘Asar pada hari ketiga belas (13) Zulhijjah.


7. Disyari’atkan amalan korban (menyembelih haiwan ternakan) pada hari raya haji dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah). Ia merupakan sunnah (amalan) Nabi Allah Ibrahim ‘Alaihis Solatu was Salam setelah Allah Ta’ala mengujinya dengan perintah menyembelih anaknya Ismail ‘Alaihis Solatu was Salam tetapi ditebus ujian itu dengan digantikan seekor haiwan untuk disembelih.


8. Imam Muslim Rahimahullah meriwayatkan dari Ummu Salamah Radhia Allah ‘anha bahawa Nabi Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda :

“Apabila kamu telah melihat anak bulan Zulhijjah dan ada di kalangan kamu yang ingin berkorban (sembelih haiwan ternakan), hendaklah dia menahan dirinya dari (memotong) rambut dan kukunya”

dan di dalam riwayat lain :

“Maka janganlah dia memotong rambut dan kukunya sehinggalah dia berkorban”.

Perintah (sunat) ini berkemungkinan ada persamaan dengan hukum bagi mereka yang membawa haiwan ternakan (ketika mengerjakan haji) dari kampung mereka yang telah dijelaskan oleh Allah Ta’ala, maksudnya :

“(Dan janganlah kamu mencukur rambut kamu sehinggalah haiwan ternakan (yang dibawa untuk dihadiahkan dagingnya kepada penduduk Makkah) itu sampai ke tempatnya)”.

Larangan (memotong rambut dan kuku) ini pada zahirnya adalah khusus kepada pemunya haiwan korban tersebut sahaja dan tidak termasuk isteri dan anak-anaknya melainkan mereka juga mempunyai haiwan seumpamanya, dan tidak mengapa jika yang berkenaan membasuh dan menggosok kepalanya kemudian terjatuh beberapa helai rambutnya.


9. Setiap muslim hendaklah berusaha untuk menunaikan solat hari raya secara berjamaah, menunggu mendengar khutbah yang dibaca oleh imam selepas selepas solat tersebut supaya mendapat pengajaran daripadanya. Sepatutnyalah dia mengetahui hikmat di sebalik perayaan ini; ia merupakan hari menyatakan kesyukuran dengan melakukan kebaikan, janganlah pula dilakukan padanya perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah dengan mengerjakan ma’siat, kesombongan, pertengkaran, bermasam muka dan sebagainya yang boleh menjadi sebab kepada terhapusnya amalan-amalan kebaikan yang telah dikerjakannya sebelum itu.


10. Penuhilah hari-hari berkenaan dengan ketaatan kepada Allah, berzikir, bersyukur, menunaikan perintahNya, menjauhi laranganNya, mendekatkan diri kepadaNya semoga mendapat rahmat dan keampunanNya. (Sumber : www.iluvislam.com dan diambil daripada http://mufti.islam.gov.my/terengganu/?subid=14&parent=06)


Read more...

Muslimat Sabah Berkampung Di Sungai Imam

>> Tuesday, November 24, 2009

Mukhayyam Muslimat PAS Negeri Sabah telah berlangsung pada 21- 23 november 2009 bertempat di Madrasah Darul Hidayah Kampung Sungai Imam, Tawau. Program yang bertemakan "Cabaran dan Persiapan Srikandi Ummah Masa Kini" telah menghimpunkan pimpinan dan ahli- ahli muslimat daripada seluruh kawasan negeri Sabah .


Lebih istimewa lagi, program anjuran Lujnah Tarbiyyah & Kepimpinan dewan Muslimat Negeri Sabah ini, turut memberi ruang peserta yang hadir berkongsi ilmu dan pengalaman daripada Ustazah Wan Hasrina dan Ustazah Maryam yang merupakan ketua dan timbalan ketua Dewan Muslimat Pas Negeri Selangor.


Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang program tersebut adalah ceramah kupasan tema yang disampaikan oleh Ustaz Ismail dari Lahad Datu. Jungle Tracking yang menjadi salah satu aktiviti yang ditunggu- tunggu setiap kali Mukhayyam diadakan mendapat respons yang cukup baik daripada peserta kerana turut menyentuh peranan dan persoalan diri setiap muslimat yang terlibat dalam gerakan Islam.


Pada malam terakhir program , telah diadakan Malam Kesenian Islam yang menampilkan persembahan menarik hasil kreativiti peserta yang menjadikan tema program sebagai asas persembahan bagi setiap kawasan yang terlibat, turut tidak ketinggalan persembahan daripada Ajk pelaksana. Sesi muhasabah dan Resolusi pada hari terakhir telah menjana pelbagai idea dan gagasan pemikiran demi meningkatkan kekuatan muslimat mendepani cabaran masa kini khususnya di negeri Sabah di samping memperbaiki lagi perjalanan program pada masa- masa akan datang


Semoga program yang telah diadakan ini mampu menyuntik kembali semangat perjuangan seluruh muslimat di negeri Sabah khususnya. Majlis perasmian dan penutupan program kali ini telah disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Sabah, Saudara Mohd. Nasir Ali.



Read more...

Sejenak Di Kg Pasir Putih

>> Saturday, August 29, 2009

Program Sejenak Bersama Dewan Muslimat PAS Kawasan Tawau (DMPKT) anjuran Lujnah Kebajikan dengan kerjasama Nisa' telah berjaya mengumpulkan seramai 65 orang penduduk Kg. Pasir Putih. Program yang bertemakan Kebajikan Untuk Semua ini, adalah satu program kebajikan di samping mempromosikan PAS dan DMPKT khususnya kepada penduduk kampung.

Ketua Muslimat, Pn. Mandin dalam ucapan ringkasnya, banyak mempromosikan dan memperkenalkan PAS. DMPKT berusaha untuk mengubah persepsi negatif masyarakat terutamanya di Sabah, bahawa PAS adalah sebuah parti yang konservatif dan jumud.

Pengenalan tentang PAS ini dipanjang lebarkan lagi oleh YDP kawasan, En. Muhammad Husin. Beliau memberikan penjelasan mengenai hala tuju PAS sebagai sebuah parti politik dan gerakan dakwah. Disamping berusaha untuk meneraju Malaysia dalam aspek pemerintahan berlandaskan syariat, PAS juga sudah sekian lama mengisi sistem pendidikan pra-sekolah melalui PASTI. Ini antara komitmen yang PAS tunjukan dalam usaha membina sebuah negara bangsa yang berpaksikan kepada Al-quran dan sunnah.

Tidak ketinggalan ucapan daripada Pesuruhjaya PAS Negeri Sabah, Tn Hj. Muhammad Abdullah. Dalam ucapannya, beliau menerangkan tentang usaha-usaha yang sedang dan telah dilakukan oleh PAS dalam memastikan hak dan kepentingan masyarakat terus terbela. Contohnya dalam isu bekalan elektrik yang kerap terputus di Tawau ini, PAS bersama Pakatan Rakyat telah mengambil pelbagai inisiatif memastikan SESB mengambil tindakan lebih proaktif agar masalah ini idak terus berlanjutan membebankan masyarakat.

Kesempatan dapat mengumpulkan penduduk kampung sebegini, turut dimanfaatkan oleh DPMKT dengan menjemput Dr. Solahuddin daripada PAPISMA untuk memberikan serba sedikit penerangan berkaiatan H1N1. Program diakhiri dengan agihan sumbangan beras kepada penduduk kampung yang kurang berkemampuan dan ibu-ibu tunggal serta anak yatim.

Sesungguhnya, Dewan Muslimat PAS Kawasan Tawau sentiasa berusaha agar dapat memberikan sesuatu kepada masyarakat. Bukan sekadar ketika menjelangnya pilihanraya sahaja. Khidmat kebajikan ini akan diberikan kepada semua tanpa mengira fahaman politik, status kewarganegaraan ataupun etnik-kaum.

~Kebajikan Untuk Semua~

Read more...

Lensa Sejenak Di Kg. Pasir Putih



Antara penduduk kampung yang khusyuk mendengar ucapan pimpinan PAS Kawasan



YDP PAS Kawasan, En. Muhamad Hussin



Pesuruhjaya PAS Negeri Sabah, Tn Hj Muhammad Abdullah



Dr. Solahuddin, menyampaikan taklimat kesihatan H1N1




Sesi soal jawab bersama Dr. Solahuddin



Antara penerima sumbangan daripada Dewan Muslimat PAS Kawasan Tawau


Read more...

Mengapa Ramadhan Tidak Berkesan

>> Wednesday, August 26, 2009


slide1e

“Mengapa Ramadhan tidak berkesan?” soalan yang diamanahkan kepada saya untuk mengupasnya.

Ringkas, tetapi jawapannya bukan mudah.

Kita mengalaminya. Dalam segala janji Allah, galakan dan kemudahan-Nya untuk kita beribadah, kita sering tidak mencapai impian. Jarak di antara diri idaman menjelang Syawwal berbanding diri sebenar, selalu jauh bagai timur menggamit barat.

Mengapa?

slide2e

Allah Subhanahu wa Ta’aala sudah memberikan friendly reminder, bahawa puasa sebagai proses menjana Taqwa adalah satu proses yang rumit. Kalimah La’alla yang dijadikan sendi firman-Nya di Surah al-Baqarah ayat 183 itu sudah sedia melontarkan konotasi ‘mudah-mudahan’, tanda tidak semua berhasil mencapai Taqwa di hujung Ramadhan.

Justeru jangan sambil lewa. Usaha mengisi Ramadhan mesti penuh kesungguhan.

Slide3

Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam telah memberi peringatan tentang betapa ramai yang gagal memperolehi tawaran-tawaran hebat Ramadhan, kecuali lapar dan dahaga yang sia-sia. Justeru ketidak sempurnaan hasil Taqwa setelah menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan mungkin berpunca daripada masalah INPUT bersangkutan dengan iman dan hal-hal dalaman manusia, atau mungkin berpunca daripada PROSES, iaitu soal ilmu pengetahuan dalam menggerakkan puasa mengikut manual Allah Subhanahu wa Ta’aala.

MASALAH INPUT

Slide5

Andaikata masalah INPUT itu bersangkutan dengan AQIDAH, di sinilah timbulnya keganjilan terhadap kelompok yang berpuasa tetapi tidak bersolat. Bagaimana mungkin seorang itu berpuasa, tetapi meninggalkan rukun Islam yang lebih tinggi iaitu solat? Ia bukan masalah hukum atau masalah fiqh, sebaliknya ia bersangkutan dengan kecacatan serius pada aqidah pelaku ganjil ini.

Kerosakan yang membabitkan MINDSET dan WORLDVIEW ini mungkin diterjemahkan dalam bentuk perlaksanaan puasa yang salah motif. Melihat puasa sebagai mekanisma kesihatan diri semata-mata, tanpa ada hubungkaitnya dengan manifestasi kehambaan diri kepada Allah, justeru puasa kosong daripada roh Tarbiyyah, dan sekadar memberikan manfaat material atau duniawi semata-mata.

Slide4

Ada pun kecacatan berkaitan dengan sistem nilai, ia akan terserlah pada ketidak sungguhan atau tiadanya rasa ghairah terhadap segala tawaran Allah berkaitan Ramadhan.

Jika ada sebuah pasaraya membuat tawaran istimewa, beli satu dapat 10, jalanraya dilapangkan menuju pasaraya itu, lampu isyarat semua dihijaukan, kenderaan lain semua dilencongkan, agar segala kemudahan diberi untuk kita pergi mendapatkan tawaran itu, tetapi kita tidak peduli dan tidak teringin langsung kepadanya, maka sesungguhnya kita memang tidak berminat sungguh dengan apa yang ditawarkan oleh pasaraya tersebut.

Demikianlah juga halnya dengan Ramadhan.

Seandainya pintu Syurga sudah dibuka, pintu Neraka ditutup kunci, malah Syaitan dirantai agar lemah potensinya dalam mengganggu manusia, segala gandaan pahala diberi dan segala galakan kebaikan ditawarkan, tiba-tiba kita langsung tidak tertarik untuk mendapatkannya, ia menandakan bahawa kita memang tidak berminat dengan Allah, tidak berminat dengan tawaran-Nya, tidak berminat dengan Syurga dan tidak pernah kisah dengan Neraka.

Maka sesungguhnya orang ini benar-benar tidak mendapat sebarang rahmat daripada Allah.

MASALAH PROSES

Slide6

Ketidakberkesanan puasa dalam membentuk ketaqwaan diri, mungkin juga berpunca bukan daripada masalah INPUT, sebaliknya datang daripada kecacatan PROSES. Cara puasa itu dilaksanakan, sejauh manakah ia menepati kehendak Allah Subhanahu wa Ta’aala dan didikan Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam? Asasnya adalah ILMU. Inilah salah satu keistimewaan terpenting Islam, bahawa segala perlakuan ibadah terbina di atas dasar ilmu. Bukan ikut-ikutan, bukan teka-tekaan. Harus ada asas kefahaman yang membolehkan puasa dengan segala ibadah lain, berlangsung seperti yang sepatutnya.

Belajar tidak pernah habis.

Amat malang sekali seorang yang sudah berusia 40 tahun, masih berpuasa dengan ilmu puasa yang dipelajarinya semasa berusia 15 tahun.

Ilmu mesti sentiasa ditingkatkan sesuai dengan pengalaman diri, cabaran yang bertambah serta pendedahan yang pelbagai.

Slide7

Jika di usia 15 tahun, kita belajar bahawa musafir diharuskan berbuka puasa, mungkin di usia 21 tahun kita perlu memperincikan ilmu itu apabila buat kali pertamanya kita menaiki kapal terbang di bulan Ramadhan. Rukhsah yang diberikan oleh Allah Subhanahu wa Ta’aala ada kalanya jelas dari segi fiqh, tetapi terhalang daripada perlaksanaan akibat daripada sentimen bahawa rukhsah itu ‘mengurangkan nilai’ ibadah, atau rukhsah itu menukar kebiasaan.

Sebagai contoh, andaikata seorang yang bermusafir ke London pada bulan September 2009 mahu terus berpuasa tanpa mengambil rukhsah, beliau bebas berbuat demikian. Namun lihatlah kepada ilustrasi di bawah, untuk jelas di mindanya, berapakah tempoh puasanya?

21 jam!

Slide8

Begitu juga dengan kaum wanita yang hamil atau menyusukan bayi, perlu baginya memahami aspek-aspek bersangkutan dengan pengurusan puasanya, bila keharusan berbuka berlaku dan apa kesannya dari segi Qadha’ dan Fidyah. Seorang muslimah, tatkala masuk ke alam perkahwinan dan mula menimang cahaya mata, perlu menyediakan diri dengan ilmu berkaitan hal ini. Suami pula, tatkala menyedari bahawa sang isteri mempunyai sebab yang pelbagai untuk tidak berpuasa, dan perlu melakukan qadha’ selepas Ramadhan nanti, hulurkanlah bantuan dengan berpuasa sunat meneman isteri yang berpuasa.

Slide9

Ada pun panduan menyusukan bayi bagi wanita yang berpuasa, artikel yang disiarkan di UMMUSAIF.COM boleh membantu. Ia langkah proaktif agar pilihan berbuka puasa untuk menyusukan anak, boleh diminumkan.

Slide10

Manakala persoalan membabitkan qadha’ puasa dan fidyah yang berkaitan, harus juga diberikan perhatian. Adakalanya, soal qadha’ dan fidyah bersifat teknikal dan tidak sulit untuk ia dilaksanakan. Namun, perbuatan menangguhkan qadha’ puasa tanpa sebarang sebab dan keuzuran hingga masuk Ramadhan yang berikutnya, ia adalah dosa. Bukan sahaja qadha’ dan fidyah yang perlu dilangsaikan, pelaku itu juga mestilah bertaubat dan menyesali kecuaiannya itu.

Fidyah berbayar, puasa diqadha’, tetapi datangkah rasa sesal pada diri atas perlakuan itu?

Slide11

Di tahun awal pensyariatan ibadah puasa ini (Tahun kedua Hijrah), umat Islam hanya dibenarkan makan dan minum bermula daripada waktu Maghrib hingga solat Isyak. Selepas Isyak, tidak boleh lagi makan dan minum sehinggalah waktu Maghrib hari yang berikutnya. Jika ada yang tertidur sebelum Isyak, beliau juga berpuasa bermula daripada tidurnya itu sehinggalah Maghrib keesokan harinya. Hal ini amat membebankan sahabat dan hukum ini kemudiannya dimansukhkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’aala.

Sebagai gantinya, Syariat Islam menghendaki setiap orang yang berpuasa menjaga urusan sahurnya. Sahur dituntut agar ia diambil, biar pun dengan hanya seteguk air, pada waktu hujung malam menjelang waktu subuh. Perbuatan makan siap-siap pada waktu tengah malam dan kemudian tidur hingga masuk ke waktu solat Subuh, tidaklah menghasilkan fadhilat sahur. Malah ia disinonimkan dengan amalan Ahli Kitab, termasuk dari aspek menyengajakan pemanjangan tempoh berpuasa selepas ia sudah dipendekkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’aala.

Hindarkan perbuatan ini.

Slide12

Demikian juga halnya dengan soal menyegerakan berbuka puasa. Isunya sama iaitu larangan meniru sikap Ahli Kitab yang berpuasa, serta larangan memanjangkan tempoh puasa lebih daripada apa yang telah ditentukan oleh Allah Subhanahu wa Ta’aala. Bagi mereka yang menjangkakan dirinya akan terperangkap di dalam kesesakan lalu lintas ketika masuknya waktu berbuka puasa, hendaklah bertindak proaktif menyediakan tamar atau air minuman di dalam kereta masing-masing.

Jangan pula ada yang ‘bergeliga’ mahu membuka puasa dengan mengorek hidung!

Semoga dengan sedikit muhasabah ini, kita boleh sama-sama membuat penilaian agar Ramadhan yang masih seputik jagung ini dapat dioptimumkan menuju TAQWA.

Salam Ramadhan.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

Read more...

Tahniah atas kemenangan Pakatan Rakyat - Muslimat Pusat

>> Tuesday, August 25, 2009

PENANTI, 25 Ogos - Ahli Dewan Negara, Senator Mumtaz Mohd Nawi mengucapkan terima kasih kepada para pengundi DUN Permatang Pasir atas kemenangan Pakatan Rakyat pada pilihan raya kecil kali ini. Beliau yang juga Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat mewakili Dewan Muslimat PAS Pusat mengucap penghargaan kepada rakan-rakan dari Pakatan Rakyat atas komitmen sepanjang Pilihan Raya Kecil N.11 kali ini.


"Walaupun hanya 1 kerusi,kita masih dapat mengekalkan kemenangan. Terima kasih kepada pengundi-pengundi di Permatang Pasir dan kepada pengundi-pengundi lain dalam 4 siri pilihan raya kecil yang lalu kerana telah memilih dengan bijak walaupun menghadapi serangan bertalu-talu dari BN," ulas beliau ketika ditemui di pusat penjumlahan undi yang bertempat di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bukit Mertajam.


Menurut beliau, perjuangan Pakatan Rakyat untuk mengekalkan kemenangan dimakbulkan Allah seiring dengan keberkatan di bulan Ramadhan. Selain itu, kata beliau Adun baru, Ustaz Salleh Man mewarisi sifat-sifat dan kecekapan arwah Dato' Hamdan. Di samping itu, menurut beliau juga Pakatan Rakyat tidak menerima sebarang rungutan berkenaan khidmat yang dilakukan oleh jentera mereka.


Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusuf turut mengucapkan syukur atas kemenangan ini dan berdoa semoga ianya dipelihara oleh Allah. Beliau yang juga merupakan Mas'ulah Jentera HALWA Pusat merangkap Ketua Muslimat Kelantan mengucapkan terima kasih kepada semua petugas HALWA negeri Kelantan dan tuan rumah khususnya atas komitmen dan kerja kuat mereka untuk kemenangan di Permatang Pasir kali ini.


Selain itu, beliau juga memberi penghargaan kepada terima kasih pada semua jentera termasuk Unit IT atas komitmen yang diberikan. Katanya jentera muslimat harus mengambil pengalaman dari pilihan raya ini sebagai persiapan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum 13 nanti.


"Kemenangan ini sangat bererti kerana padanya terdapat mujahadah dan keberkatan bulan puasa dalam melawan hawa nafsu.Ini adalah demi memastikan Islam akan mentadbir Malaysia. Sambutlah kemenangan ini dengan rasa rendah diri, tingkatkan ibadah dan SUJUD SYUKUR kepada Allah," kata beliau ketika dihubungi sebentar tadi.


sumber : http://prkn11penang.pas.org.my

Read more...

KENYATAAN MEDIA PAS KAWASAN TAWAU BERHUBUNG DENGAN ISU ELEKTRIK

>> Monday, August 24, 2009

1. PAS Kawasan Tawau sangat prihatin dan simpati dengan nasib rakyat seluruh Tawau yang terpaksa meneruskan penghidupan harian mereka dalam keadaan terus-menerus setiap hari menerima gangguan bekalan elektrik.

2. PAS Kawasan Tawau juga melahirkan rasa bimbang dengan gangguan bekalan elekterik ini akan menggagalkan malahan mencacatkan ibadat puasa dan lain-lain ibadat umat yang sangat diharap dan di sanjungi dan di tunggu-tunggu oleh umat Islam dan hanya boleh dilakukan dalam bulan Ramadan sahaja.

3. PAS Kawasan Tawau menuntut supaya kerajaan mengkaji dan seterusnya membayar ganti rugi terhadap kerosakan akibat dari bekalan elektrik yang tidak menentu ini dan kerajaan perlu memberi pampasan kepada seluruh rakyat Tawau ekoran ketidakselesaan dan gangguan mental serta tekanan yang dihadapi berikutan dengan gangguan bekalan elekterik ini.

4. PAS Kawasan Tawau juga menuntut supaya kerajaan merombak pengurusan SESB dan Lembaga Elektrik Sabah dan mengkaji semula semua kontrak SESB dengan pembekal-pembekal tenaga bebas. Dalam hal ini kami mencadangkan supaya kerajaan melantik satu perunding pengurusan bagi mengkaji dan membuat cadangan supaya satu sistem urus tadbir yang sistemetik dan telus dapat dibuat untuk SESB.


En .Mohamad Husain
Yang Dipertua
PAS Kawasan Tawau

22 Ogos 2009 bersamaan 01 Ramadan1430 H

Read more...

  © Hak Milik Dewan Muslimat PAS Kawasan Tawau, SABAH | Weblog Versi 1.0: Sejak 23 Mac 2009, by AnakBulan™

Back to TOP